Archive for May, 2006

madah cinta

Andai kata cinta itu sebuah pengorbanan, mengapa pengorbanan itu bukan nokhtah sebuah cinta? Andai kata derita itu hanya sebuah cinta, mengapa cinta itu semakin sukar untuk dimiliki? Cinta seumpama kaca kristal, indah dipenglihatan, derita di perasaan

Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada

Ada orang pada mulanya malu untuk jatuh cinta tapi, bila perasaan menjadi rindu padanya, tiba-tiba perasaan malu itu hilang dengan sendirinya dan terpaksa menerima kenyataan yang sebenarnya bahawa anda telah jatuh cinta

Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar menghinakan diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat

Persahabatan biasanya berakhir dengan percintaan, tetapi percintaan tidak pernah berakhir dengan persahabatan.

Cetusan cinta pertama merupakan suatu getaran yang sangat menggoncang jiwa.

Apakah sebenarnya cinta? Cuba katakan… Tak lain dan tak bukan ialah 2 jiwa dalam satu fikiran, 2 hati dalam satu debaran.

Gerak geri memberi pengertian kepada perasaan yang tidak terucap oleh kata-kata

Cinta yang datang umpama pelangi ceria dengan 7 warna memukau. Saat bayu berlagu riang, tika itulah cintanya hadir. Apabila mata terlihat seseorang, seseorang yang bakal mewarnai hidupnya.

Cinta bukan paksaan. Ia lahir dari 2 perasaan. Kehadirannya tidak diundang, perginya tiada yang merelakan kerana ia terlalu sukar untuk dimengertikan.

Kadang kala kita menyedari betapa dalamnya kita menyintai seseorang disaat kita sedang kehilangannya. Dan kadangkala kita juga menyedari betapa perlunya cinta seseorang terhadap kita disaat kita amat memerlukannya.

Cinta yang lahir dari pandangan pertama adalah cinta suci. Manakala perasaan cinta yang lahir dari kemesraan persahabatan adalah cinta sejati. Namun sukar untuk membezakan yang mana lebih abadi, "cinta suci" atau "cinta sejati"?

1

1

MEMUDAHKAN JODOH..

Apabila jodoh ditemukan dan kedua pihak telah bersetuju untuk dinikahkan maka sebagai syarat yang penting dalam pernikahan ialah pihak lelaki dikehendaki memberi hadiah atau mahar kepada pihak wanita.

Apabila jodoh ditemukan dan kedua pihak telah bersetuju untuk dinikahkan maka sebagai syarat yang penting dalam pernikahan ialah pihak lelaki dikehendaki memberi hadiah atau mahar kepada pihak wanita. Ini adalah syarat terpenting untuk membuatkan pernikahan itu sah dari hukum syarak. Allah memerintahkan supaya wanita yang akan dikahwini diberi mahar. Allah menyatakan, "Ya Rasul, sesungguhnya kami telah menghalalkan kamu isteri kamu yang telah kamu berikan kepadanya mahar."

Di dalam ayat yang lain Allah menyatakan, “Dan untuk wanita kamu, berikanlah mereka mahar sebagai hadiah dan jika dia memberi kepada kamu sebahagian dengan kerelaannya, maka makanlah dengan senang hati dan gembira." Allah mewajibkan mahar sebagai hadiah untuk wanita yang dikahwini. Mahar adalah sebagai cinta cintanya sudah diterima.

Apabila cinta atau kasih yang ditawarkan oleh teruna diterima oleh si dara maka sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang memberikannya isteri maka mahar dibayar. Mahar hanyalah tanda, yang penting wanita itu menerima serta membalas cintanya dan bersedia bersamanya mengharungi lautan hidup. Oleh kerana mahar adalah tanda kegembiraan bagi pihak lelaki, maka ianya hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas, tulus, suci dan gembira. Ianya tidak patut diberi sebagai satu bebanan dan tekanan bagi pihak lelaki.

Pihak wanita janganlah menganggapnya sebagai satu tuntutan yang patut dibayar oleh pihak lelaki kerana berjaya meminangnya. Pihak wanita tidak patut menganggap mahar sebagai ganti untuk anaknya. Oleh kerana anak wanita kami berpelajaran tinggi, cantik dan mempunyai kedudukan maka bayaran mahar hendaklah tinggi. Mahar dianggap sebagai bayaran atau harga wanita yang dikahwini.

Allah memberitahu mahar adalah hadiah dari pihak lelaki untuk pihak wanita. Mahar hendaklah dibayar oleh pihak lelaki mengikut kemampuannya. Lelaki hendaklah memberinya dengan penuh perasaan kasih dan tanpa tekanan. Pihak wanita tidak patut membuat tuntutan yang membebankan nya. Jika lelaki itu lelaki yang kaya dan berharta maka maharnya adalah mengikut kemampuannya. Jika dia seorang yang berpendapatan rendah maka maharnya mengikut kemampuannya. Tidak ada had atau batas di dalam memberi mahar. Ianya diberi mengikut kemampuan yang memberi. Mahar boleh merupakan sebentuk cincin emas yang bertatahkan berlian atau hanyalah sebentuk cincin suasa.

Mahar boleh merupakan segenggam barli atau kurma dan boleh juga sepasang kasut. Seorang wanita dari Bani Fajarah dikahwinkan dengan mahar sepasang kasut. Nabi Muhammad bertanyakan dia, sama ada dia berpuas hati dengan mahar hanya sepasang kasut. Wanita itu menjawab dia berpuas hati. Maka Nabi Muhammad membenarkan lelaki itu mengahwininya.

Dari hadis di atas, jelas menunjukkan mahar adalah hadiah dari pihak lelaki dan pihak wanita pula bersetuju menerimanya. Mahar adalah lambang ikatan yang dibuat antara dua insan. Ia tidak patut diberatkan. Apabila mahar dibayar mengikut kemampuan pihak lelaki maka perkahwinan menjadi mudah untuk semua orang. Melakukannya apabila jodohnya telah ditemui. Penzinaan, maksiat akan berkurangan kerana peluang untuk berkahwin dipermudahkan untuk semua orang.

Apa yang memberatkan anak muda yang mempunyai nafsu yang tinggi untuk berkahwin ialah maharnya yang tinggi. Bagi melepaskan syahwatnya mereka bercinta dan tidur seperti suami isteri tanpa nikah. Apabila mereka berkahwin, wanita itu sudah tidak ada lagi daranya. Inilah yang berlaku dalam masyarakat yang menyusahkan dan memberatkan pernikahan. Penzinaan menjadi perkara biasa. Lelaki muda pergi berkunjung ke sarang pelacuran untuk memuaskan nafsu. Jangkitan penyakit kelamin seperti AIDS akan merebak seperti api. Masyarakat itu menuju kepada kehancuran.

Kenapa mahar dimahalkan. Ini berlaku kerana masyarakat cintakan kebendaan dan kesucian. Mereka mahu nama dan kemegahan daripada taat kepada perintah Allah. Ini terjadi kerana iman lemah dan cinta dunia bersarang dalam hati. Akhirnya masyarakat yang tidak mengamalkan agama pasti akan dihancurkan, oleh amalan mereka sendiri.

Jikalau kita ingin kebaikan dan keberkatan di dalam perkahwinan, maka mudahkan lah ia. Semakin hampir pernikahan itu seperti pernikahan anaknya Nabi Muhammad iaitu Fatimah, maka semakin berkat lah ia. Perkahwinan Ali dan Fatimah dijalankan dengan sederhana sekali. Ali tidak mempunyai apa-apa pun untuk berkahwin. Dia hanya mempunyai sebuah perisai perang yang dijadikan mahar buat Fatimah.

memahami pasangan mengikut situasi..

Orang yang sanggup memberikan cinta adalah orang yang kuat kerana mampu mengalahkan keinginannya untuk mementingkan diri sendiri

Bercinta dengan Anak Tunggal

Kebiasaannya anak tunggal kaya dengan perasaan. Kekayaan perasaan ini menjadikan mereka individu yang lebih sensitif. Ini adalah kerana mereka telah terbiasa dengan limpahan kasih sayang dari ibu bapa yang sememangnya tidak berbelah bahagi. Dalam erti kata lain, ada kalanya mereka tidak menghiraukan perasaan orang lain ataupun terlalu mengambil berat, bergantung pada cara mereka dididik.

Individu yang ditakdirkan bercinta dengan anak tunggal haruslah memahami bahawa anak sebegini biasanya mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapanya. Mereka amat mengambil berat perihal anak tersebut termasuk dengan siapa anaknya berkawan dan siapa bakal pasangan hidupnya. Pergerakan anak tunggal terbatas dengan pengawasan ataupun kongkongan daripada ibu bapanya. Oleh itu anda haruslah berhati-hati dalam menjaga hati kedua-dua ibu bapa anak tunggal ini. Anda juga harus berhati-hati dan bijak dalam menawan hati anak tunggal yang serba kaya dengan perasaan dan perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya.

Bercinta dengan Anak Orang Miskin

Bercinta dengan pasangan yang datang daripada keluarga miskin memerlukan kesediaan dan pengorbanan untuk turut berada dalam suasana yang susah dan serba sederhana. Anda harus cuba sedaya-upaya menjadi individu yang merendah diri, tidak sombong dan fleksibel dalam apa jua keadaan. Maknanya, anda harus bersedia untuk makan di atas lantai ataupun mandi air perigi ataupun air kolah yang sejuk dan melakukannya dengan hati yang rela supaya tidak menyinggung perasaan keluarga pasangan yang serba kekurangan.

Kemiskinan bukanlah suatu keadaan yang mutlak. Apabila di awal perkenalan anda dengan teruna ataupun gadis itu, keluarganya berada dalam kemiskinan, keadaan mungkin akan berubah dengan adanya kehadiran anda dalam keluarga tersebut. Kemiskinan boleh diubah menjadi sederhana ataupun berada bergantung kepada ketekunan keluarga tersebut untuk memperbaiki mutu kehidupan dan pendapatan mereka. Keadaan akan menjadi lebih baik lagi sekiranya anda datang daripada keluarga berada yang pemurah dan berhati mulia.

Bercinta dengan keluarga miskin sepatutnya menjadikan anda seorang yang insaf dan bersyukur dengan keadaan hidup yang serba cukup dan mudah. Anda harus menjadi insan yang prihatin kepada perasaan keluarga miskin kerana mereka sudah puas merasa kesusahan hidup dengan bebanan kewangan yang sentiasa berlarutan. Anda harus bersedia dengan kewangan yang cukup kuat bagi membantu keluarga bakal isteri ataupun suami untuk berubah dan menikmati kehidupan yang lebih baik apabila anda ditakdirkan menyertai keluarga itu nanti.

Bercinta dengan Anak Keluarga Berada

Pertentangan cinta antara dua darjat sentiasa berlaku dalam masyarakat kita. Keadaan ini berlaku apabila golongan berada terlalu mementingkan status dan kedudukan mereka. Maka dalam hal ini, anda haruslah memahami psikologi keluarga yang berada atau kaya. Sekiranya anda seorang yang rajin, berani dan tabah, anda boleh bersedia untuk memenangi hati dara ataupun teruna yang berasal dari keluarga kaya. Sebaliknya jika anda tidak berani menanggung risiko, malas berusaha untuk mengubah status ekonomi keluarga dan tidak tabah mendengar tohmahan, cemuhan dan ejekan dari pelbagai pihak, batalkan sahaja niat untuk beristerikan ataupun bersuamikan anak orang kaya. Lebih baik perit sekarang daripada perit kemudian.

Bercinta dengan anak keluarga berada mempunyai implikasi yang tersendiri kerana anak keluarga berada biasanya memiliki stail percakapan, gaya, pakaian dan cara hidup yang agak berbeza dengan golongan kebanyakan ataupun golongan miskin. Mereka telah terbiasa dengan kehidupan elit, serba mewah, moden dan ada sesetengahnya suka menunjuk-nunjuk ataupun berlagak dengan kemewahan yang dimiliki. Tetapi bukan semua anak keluarga berada mempunyai sikap begini. Hanya segelintir sahaja sedemikian.

Apabila bercinta dengan anak keluarga berada, janganlah menunjukkan kelemahan diri walaupun anda datang daripada orang kebanyakan ataupun miskin. Tunjukkan bahawa anda juga mempunyai kelebihan walaupun bukan dari sudut kebendaan. Tunjukkan keikhlasan dan ketulusan anda bercinta bukan kerana mahukan kekayaan pasangan.

Meskipun anda tidak mempunyai harta yang banyak, anda masih boleh menguasai ilmu dan kemahiran-kemahiran yang mampu menarik hati keluarga berada tersebut. Anda juga harus membuktikan bahawa anda boleh membahagiakan anak mereka walaupun tanpa limpahan wang ringgit. Apa yang penting adalah keyakinan yang tinggi pada diri sendiri dan sikap bertanggungjawab yang mampu mengubah keadaan hidup dan keluarga untuk mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan disanjung oleh masyarakat.

Bercinta dengan Pasangan yang Mempunyai Ramai Adik-beradik

Bercinta dengan pasangan yang mempunyai ramai adik-beradik memerlukan kesabaran, tolak ansur, berupaya untuk berkongsi, bekerjasama dan mengambil berat hal ehwal mereka. Anda harus pandai menyesuaikan diri sekiranya anda berasal daripada keluarga yang kecil bilangan adik-beradik. Selain itu, anda harus sentiasa berbesar hati menerima bakal adik ipar yang ramai. Pendek kata, anda harus sentiasa berfikiran terbuka dan berbesar hati dengan kewujudan mereka.

Anda harus bersedia melayan pelbagai kerenah dan peribadi yang ditonjolkan oleh adik-beradik pasangan. Penting juga untuk mengambil hati adik-beradik pasangan, sesekali jika mampu berilah hadiah kepada mereka. Belajar mengingati nama-nama dan peribadi mereka. Anggaplah mereka orang yang penting dan relevan dalam kehidupan anda, terutamanya selepas anda berumah tangga kelak.

Lebih baik lagi jika anda menjadi penyatu dalam keluarga, insan yang dihormati dan disanjung oleh mereka. Perkara yang utama adalah sentiasa berfikiran positif, berbaik sangka dan menjaga perhubungan, tingkah laku dan pertuturan ketika bergaul dengan mereka.

Bercinta dengan Pasangan yang Berbeza Agama dan Budaya

Bercinta dengan pasangan yang berlainan budaya dan agama mungkin menimbulkan beberapa masalah. Antara tentangan yang biasa diterima adalah daripada keluarga ataupun kawan-kawan. Anda akan di label sebagai mangsa cinta buta, menyeleweng, murtad dan sebagainya. Walau bagaimanapun tidak salah sebenarnya untuk bergaul dengan orang yang berlainan agama dan budaya, asalkan anda pandai menyesuaikan diri dan mempunyai peribadi yang kukuh dan stabil.

Apa yang anda perlu lakukan adalah mempelajari agama dan budayanya, serta belajar mengambil hati keluarganya. Islam adalah agama yang menghormati perhubungan sesama manusia, tidak mengira agama, bangsa dan negara. Hormati cara hidup mereka tetapi anda perlu ada pendirian yang teguh dengan agama sendiri. Jaga hati, tutur kata dan perlakuan ketika bergaul dengan mereka.

Gabungan budaya dibenarkan asalkan tidak melanggar hukum Islam, tetapi pendirian agama harus dipelihara. Jangan mudah terpedaya sekiranya kekasih anda mengajak tukar agama. Seharusnya dia menghormati diri dan agama anda, bukannya bercinta kerana ‘ada udang sebalik batu’. Berhati-hatilah dengan mubaligh Kristian dan Hindu yang semakin berleluasa pada hari ini. Terdapat kebaikan universal dalam setiap agama dan budaya tetapi Islam menghalang sekeras-kerasnya perbuatan murtad dan mensyirikkan Allah kerana cinta.

bagaimana lelaki memikat wanita

Terdapat juga sesetengah lelaki yang berlagak macho dengan mempamerkan susuk badan yang gagah dengan harapan ada gadis yang akan terpikat atau tertarik padanya.

Kaum lelaki lazimnya cuba memikat wanita dengan me-lakukan aksi-aksi tertentu. Antaranya adalah dengan melontarkan satu renungan tajam kepada seseorang wanita yang diminatinya. Ini bertujuan untuk memberitahu bahawa dia begitu berminat dengan wanita itu dan berhasrat supaya mendapat respon atau reaksi positif daripadanya.

Selain itu, terdapat juga sesetengah lelaki yang berlagak macho dengan mempamerkan susuk badan yang gagah dengan harapan ada gadis yang akan terpikat atau tertarik padanya. Apabila lelaki berkesempatan untuk berkomunikasi dengan wanita yang diminatinya, dia akan menceritakan berkenaan kebaikan dirinya, kejayaan hidupnya dan lain-lain gambaran positif berkenaan diri dan kehidupannya. Ini bertujuan untuk memberitahu wanita itu bahawa dia adalah seorang yang baik hati, berwawasan dan berjaya dalam hidup.

Tidak kurang juga lelaki yang menunjukkan sikap pemurah sebagai cara hendak memikat wanita. Mereka berbudi dengan memberikan hadiah, belanja makan, mengajak untuk bersiar-siar menaiki kenderaannya dengan hasrat dapat memancing hati wanita itu. Namun, berwaspada lah kaum wanita kerana tidak semua lelaki bersikap ikhlas dan jujur.

bagaimana wanita memikat lelaki..

Apabila wanita mula meminati seseorang lelaki, dia memberi renungan tajam dengan harapan lelaki itu menyedari ada individu lain yang menghargai kehadirannya dan memerhatikan gerak -geri nya. Kaum wanita turut mempamerkan aksi-aksi tertentu dengan tujuan memikat lelaki ataupun dengan harapan ada lelaki yang terpikat padanya. Seperti juga lelaki, apabila wanita mula meminati seseorang lelaki, dia memberi renungan tajam dengan harapan lelaki itu menyedari ada individu lain yang menghargai kehadirannya dan memerhatikan gerak-geri nya. Sebagai balasan, wanita mengharapkan respon positif daripadanya. Walau bagaimanapun, tidak semua wanita mempunyai keberanian untuk bertingkah laku demikian.


Selain itu, terdapat sesetengah wanita yang menonjolkan diri dengan bersolek supaya ada lelaki yang tertarik padanya. Walau bagaimanapun, kaedah ini agak keterlaluan bagi masyarakat beragama Islam dan perbuatan sebegini biasanya dilakukan oleh orang Islam yang kurang kesedaran keagamaan ataupun kurang berpegang teguh kepada ajaran agama. Malah, Islam hanya membenarkan wanita bersolek dan berhias untuk tatapan suami sahaja.


Wanita juga akan berketrampilan menarik sebagai tujuan memikat lelaki. Penampilan itu adalah daripada berbagai-bagai aspek seperti penonjolan bentuk badan, cara berpakaian dan cara berjalan. Dalam kaedah ini, walaupun seseorang itu kurang kelihatan menarik daripada segi rupa paras, mereka masih boleh lagi kelihatan menarik dengan menggayakan penampilan tertentu.


Kesempatan ini harus diambil oleh kaum wanita untuk mempamerkan ciri wanita anggun dan bergaya tetapi pada masa yang sama menjaga kesopanan diri. Ini kerana bagi lelaki, bagi mendapatkan keseronokan, mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja (wanita) asalkan wanita itu respon padanya dan dapat memenuhi keperluan instrumental. Namun, untuk dijadikan teman hidup, mereka tetap memilih wanita yang baik, bersopan santun, berakhlak mulia, menjaga kehormatan diri.

Dipetik daripada buku "PSIKOLOGI CINTA" terbitan PTS Millennia Sdn Bhd

Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”


ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.

Cinta Sebelum Kahwin


Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.

3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.

4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.


Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang


Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin


Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.


Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:

1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Seharusnya Cinta…


Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.


Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.


Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan perbuatan.

Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.

musim bertemu jodoh…

tahun 2006 ni bagi aku musim bertemu jodoh.. rasanya kawan2 yg sebaya dan seangkatan yg belajar ngan aku dah ramai yg bertunang dan kawin.. atun dan ijan classmate aku dah kawin bln 3 dan bln 4 lepas.. noyat bakal menyusul bulan 5 ni.. kakcik dan watie pun dah tunang.. hmm.. mesti bahagia yg mereka rasakan sekarang.. lupa plak kawan2 aku yg dah bertunang thn lepas shah dan shada.. pastu yg dah jadi ibu,tahniah utk mardiana,syifa dan yati… bila dikenang2 kembali zaman sekolah dulu,hehehhe.. aku tak sangka semuanya dah berubah.. dah berpunya dan berkawin.. ni blum sampai masa kami buat reunion lagi.. tentunya meriah masa tu ngan pasangan masing2 dan juga anak2 diorang.. aku?? masih lagi menanti my prince charming.. hehehehe.. teringin gak nak bahagia cam kawan2 yg lain.. tapi mungkin blum sampai masanya.. bila tiba waktu tu,aku pun akan berkongsi cerita bahagia ngan kalian semua.. skang ni cuma tumpang melihat bahagia kawan2 aku yg aku sayang.. kalo aku tak g kenduri kawin korang tu jgn kecik ati ye.. mcm2 masalah skang ni.. insyaallah.. kalo aku lapang aku akan sampai gak kalo dijemput..